Sunday, June 17, 2007

Sistem Pendidikan Negara.. ke mana arah.?


Pembinaan modal insan yang berkualiti mempunyai kaitan yang langsung dengan sistem pendidikan negara dan kini wujud kebimbangan betapa sistem pendidikan di negara ini makin kehilangan hala tujunya.

Menurut Abdul Fatah Haron (PAS-Rantau Panjang), hal ini terbukti benar apabila sekitar 60,000 graduan terutama dari Institusi Pengajian Tinggi Awam yang masih menganggur. "Pada masa yang sama wujudnya keadaan ini dikaitkan dengan isu kualiti kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA yang tidak mesra pasaran, 'out of date' (ketinggalan zaman) dan sebagainya. Penggunaan bahasa Inggeris telah dijadikan kambing hitam dan dalam pada itu pelajar serta pensyarah di IPTA tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik,"katanya.

Jelasnya lagi, mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam The Sun pada 20 Mac 2007 pendidikan tinggi Malaysia telah melangkah jauh ke hadapan dalam mana pada tahun 2002 sebanyak 11.1% daripada penduduk Malaysia mempunyai ijazah dari institusi pengajian tinggi. Menurutnya, angka ini agak menakjubkan kerana pada tahun 1995 hanya 6.2% rakyat Malaysia memiliki pendidikan tinggi. Dalam jangka masa tujuh tahun lagi iaitu pada 2014 berdasarkan kepada perkembangan sekarang ini rakyat Malaysia yang memiliki pendidikan tinggi ialah sekitar 22%.

"Pencapaian ini sama dengan apa yang dimiliki oleh negara-negara maju sekarang seperti USA 29%, Korea Selatan 22%, Denmark 25%, Canada 22%. Cuma yang dikhuatiri ialah pertambahan yang pesat ini hanyalah pertambahan dalam konteks angka atau nombor yang tidak selari dengan peningkatan kualiti,"katanya.

Sementara itu, dalam mengupas isu perlaksanaan bahasa Inggeris bagi subjek sains dan matematik beliau menyatakan pertukaran daripada penekanan terhadap bahasa Melayu ke bahasa Inggeris telah menjadi rojak dalam sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, pelajar-pelajar Sains tahun pertama di IPTA sedang berdepan dengan dilema kerana kuliah masih dicampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tetapi dalam peperiksaan akhir mereka mesti menjawab dalam bahasa Inggeris sahaja.

Sebahagian besar daripada mangsa adalah pelajar bumiputera kerana perancangan tersebut lebih digerakkan oleh elemen autokrasi dan perancangan bentuk ini tidak mungkin akan menjurus kepada lahirnya meritokrasi dalam sistem pendidikan itu sendiri.


p/s: apa cerita dah semua ni, macam mana negara nak maju..?!

Sumber Asli Harakahdaily.net