Tuesday, August 7, 2007

Rasuah di Malaysia

Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada perasmian Sidang Parlimen bulan ini menyeru supaya setiap rakyat dan penduduk Malaysia jangan menggalakkan amalan rasuah – jangan memberi, jangan menerima dan jangan menguruskan amalan rasuah.

Ketiga-tiga golongan ini iaitu pemberi, penerima dan orang perantaraan yang menguruskan pemberian rasuah itu adalah sama saja kategorinya dan dosanya. Itulah pandangan Islam tentang jenayah ini.

Titah itu adalah penerusan keinginan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi sejak menjelang menjadi Perdana Menteri lagi. Ia satu keinginan yang baik. Dari syafaat yang diberi kepada umat Nabi Muhammad s.a.w., apabila berniat saja untuk berbuat kebaikan, maka sudah ada pahala. Jika ia tidak dilaksana, pahala itu tidak digugurkan. Jika ia dilaksanakan, maka berganda-gandalah pahala.

Tetapi sekadar hendakkan pahala bercadang memerangi rasuah, sedang tiada cadangan untuk melaksanakannya, maka pahala niat itu payah diperolehi. Niat seperti itu tidak diyakini ikhlas. Amal yang tidak ikhlas seperti tidak beramal.

Apa yang dikatakan dasar antirasuah pentadbiran sekarang dirasakan seperti satu usaha untuk mendapat pahala niat, sedang tidak diyakini niat itu hendak dilaksanakan.

Adalah benar bukan suatu yang senang untuk membuktikan sesuatu kes rasuah. Tetapi kes yang dikatakan diyakini kuat buktinya pun tidak ada tindakan juga. Contohnya, seorang menteri semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri diyakini melakukan rasuah, dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pun baru-baru ini menyatakan menteri itu pengamal rasuah.

Tiada apa-apa cadangan dari pentadbiran sekarang untuk melihat kes menteri ini. Apa yang dipercayai oleh Anwar dan Dr. Mahathir belum boleh disabitkan rasuah selagi mahkamah tidak mensabitkannya.

Tetapi persepsi umum terhadap kenyataan dua orang pemimpin itu, cukup untuk mempercayai bahawa hasrat pentadbiran sekarang untuk memerangi rasuah adalah suatu rong-rong saja. Rong-rong bukanlah dasar, sebaliknya adalah satu propaganda.

Rasuah adalah satu amalan mungkar. Maksud sabda Rasulullah s.a.w., setiap maksiat hendak dicegah dengan tangan atau dengan perkataan atau dengan menunjukkan kebencian dalam hati. Kebencian dalam hati adalah selemah-lemah iman.

Apa yang dapat dikatakan terhadap dasar antirasuah kerajaan sekarang kiranya betul ia bencikannya seperti yang terkandung dalam Titah Diraja di Parlilmen itu adalah sama darjatnya dengan selemah-lemah iman.

Dengan menjadikan kebencian kepada rasuah itu tidak sekadar yang dinyatakan dalam hati, malah disebutkan juga dengan lidah, mungkin tidaklah boleh disifatkan ia selemah-lemah dasar atau iman, tetapi paling baik ia tetap satu dasar yang lemah. Dasar yang lemah adalah lebih baik dari selemah-lemah dasar.

Niat, dasar dan iman tidak memberi apa-apa erti tanpa amal dan tindakan. Tiada apa ertinya bagi seorang yang beriman jika dia tidak beramal dengan imannya.

Justeru itu al-Quran menyarankan amar makruf disekalikan dengan nahi mungkar. Menyeru membenci rasuah seperti yang dititahkan itu adalah satu kerja amar makruf. Tetapi kebaikan dari amar makruf untuk membenci rasuah itu tidak akan menemui sasarannya jika tiada tindakan susulan nahi mungkar atau langkah mencegahnya.

Ibu bapa yang beriman wajib menyuruh anak kecilnya solat. Bertuahlah mereka apabila anak kecilnya solat seperti yang disuruhnya. Tetapi kalau sampai usia sepuluh tahun dia tidak solat juga, maka rotan anak itu. Kalau tidak dirotan anak itu, ibu bapa itu dengan sendirinya menjadi orang yang berdosa sekalipun mereka menyuruhnya solat.

Titah Diraja itu baik dan perlu disokong. Jangan ada lagi yang suka memberi rasuah dan jangan ada juga yang sedia menerimanya. Jangan ada juga orang yang ketiga yang mengatur amalan rasuah. Tetapi titah itu akan menjadi kenyataan apabila ia diikuti dengan tindakan pencegahan.

Kalau tiada langkah pencegahan, titah yang biak itu tidak memberi apa-apa makna. Allah menyediakan pahala dan syurga bagi setiap kerja amar makruf dan menjanji dosa dan neraka bagi yang melanggar perintah-Nya. Dengan amaran azab neraka yang tidak siapa yang berdosa dapat lari daripadanya, maka tetap juga neraka penuh dengan penghuninya.

Maka apalah yang memungkinkan hamba rakyat mendengar seruan raja dan pemimpin kiranya tiada langkah menyekat amalan buruk itu.

Kerajaan sudah mengadakan undang-undang mencegah rasuah. Di bawahnya ditubuhkan BPR. Diasingnya BPR dengan perkhidmatan polis. Diadakah penjara untuk mengurung orang-orang rasuah. Tetapi kalau tiada tindakan tegas diambil, maka semua yang disediakan itu tidak memberi guna. Ia sama seperti mendirikan sekolah dan menyediakan peralatan terbaik tetapi guru-guru tak mengajar. Atau mendirikan masjid tetapi dikunci pintu dan tingkapnya.

Tidak adil untuk mengatakan BPR tidak membuat kerja. Tidak juga adil mengatakan petugas pencegah rasuah tidak cekap. Tetapi hakikat yang berlaku, rasuah adalah lebih maju dari kemajuan prasarana negara. Malaysia mulai hampir dapat mengejar Indonesia, Filipina dan Thailand dalam peningkatan rasuah.

Semua peralatan untuk menangani rasuah telah sedia, tetapi indeks rasuah melambung tinggi. Mengapa? Kerana Malaysia sehingga ini belum ada pemimpin yang berani menolak pemberian, menggalak pemberian dan penerimaannya dan memejamkan mata terhadap urusan rasuah.

Dan lebih-lebih lagi kesalahan rasuah tidak langsung dihubung-kaitkan dengan konsep dosa dan pahala. Rasuah tidak dilihat sebagai satu jenayah syariah dan dijauhkan dari urusan agama. Ia ditadbirkan secara sekular dan sekular itu sendiri adalah jenayah.

Apabila pemerintah menjauhkan urusannya dari peraturan Allah, maka Allah jauhkan rahmat dan keberkatan dari negara, umat dan pentadbiran.