Friday, March 30, 2007

Makna di sebalik April Fool

“HARI pertama setiap April adalah hari yang perlu diingati berbanding baki 364 hari lagi,’’ kata penulis terkenal Amerika, Mark Twain.

Kesimpulan yang paling mudah daripada kenyataan Mark Twain tersebut tarikh 1 April setiap tahun itu ialah hari untuk usik-mengusik, bergurau-senda atau tipuan olok-olok. Tidak akan ada yang akan marah atau berkecil hati.

Tarikh itu digelar dengan pelbagai nama. Paling umum ialah April’s Look Day. Ada yang memanggilnya dengan April Mop dan di Scotland ia seringkali dikenali sebagai April Gowk.

Walau apapun panggilannya, motif tetap sama. Setiap kali menjelang 1 April, biasanya banyak di antara kita akan begitu sibuk dan terikut-ikut dengan budaya Barat serta bersiap-sedia untuk merayakannya.

Kita merancang untuk menipu orang lain, sahabat atau saudara terdekat. Budaya tersebut begitu erat melekat, seakan-akan pada 1 April tersebut, kita boleh berbuat dosa.

Namun, apa makna sebenar di sebalik 1 April? Adalah dipercayai sambutan dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Wilayah Granada.

Kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian. Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan masyarakat Islam di negara itu. Penduduk-penduduk Islam diberitahu bahawa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan.

Orang Islam yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi ke perlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.

Keesokan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke pelabuhan.

Pada masa inilah, pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk-penduduk Islam itu. Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya telah musnah dibakar.

Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.

Peristiwa ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia sebagai April Fool's Day, April Mop atau The April`s Fool Day, berawal dari satu episod sejarah gelap Muslim Sepanyol pada tahun 1487, atau bertepatan dengan 892 H.

Kita memang tidak tahu sejauh mana kebenaran fakta ini. Namun, apa yang menjadi persoalan ialah begitu mudah masyarakat kita menerima satu budaya luar yang tidak jelas asal-usulnya.

Saya pernah membaca satu pendapat menarik oleh sejarawan Peter Gay dalam bukunya The Cultivation of Hatred yang menyentuh banyak aspek tentang budaya.

Antara lain, Gay menulis; `kesulitan terbesar ialah mengikis sesuatu peristiwa yang telah diterima oleh masyarakat sebagai amalan seharian mereka (budaya).

Beberapa sejarawan lain menganggap pendapat Gay tersebut disebabkan oleh ketaksubannya terhadap teori-teori psikoanalisis oleh Sigmund Freud dan Jacques Lacan hingga beliau melihat proses itu sebagai kandungan kesedaran manusia.

Gay berkesimpulan, setiap lapisan sosial akan membangunkan hegemoni kebudayaan masing-masing dengan tujuan mengatasi kelompok atau etnik lain. ‘Kemenangan’ akan diperoleh selepas kelompok lain menerima budaya yang dikembangkan.

“Kebanggaan terhadap etnik dan kecemasan etnik dalam banyak hal tidak boleh saling dibezakan. Lama kelamaan etnik yang tidak dominan terpaksa menerimanya menjadi satu sikap atau budaya mereka,’’ kata Gay.

Perspektif yang sama turut diutarakan oleh penulis Marxis Itali, Antonio Gramsci dalam koleksi catatannya yang dibukukan, Selections of Prison Notebooks.

Gramsci antara lain berpendapat, hegemoni budaya, selain ekonomi dan sosial adalah salah satu bentuk penjajahan baru ke atas kaum proletarian oleh kelompok borjuis.

Jika pendapat Gay dan Gramsci ini diambil kira, April Fool merupakan salah satu kekalahan masyarakat kita terhadap hegemoni budaya oleh Barat.

Kadang-kadang perspektif bahawa apa sahaja dari Barat dianggap moden. Lalu, masyarakat kita tanpa menapis dan memperincinya terus menerima sebagai budaya. Sehubungan itu, jangan terlalu mempercayai kata-kata Mark Twain bahawa 1 April setiap tahun adalah hari perlu diingati.

0 comments: